PENAMPANG: 22 April 2026 – Muzium dan Perpustakaan Koisaan dilancarkan di Hongkod Koisaan hari ini sebagai langkah memperkukuh pemeliharaan warisan sosio budaya masyarakat Kadazandusun.
Pelancaran awal kemudahan itu menghimpunkan kepimpinan Kadazandusun Cultural Association (KDCA) dan tokoh masyarakat, dengan pengisian termasuk upacara penanaman Dalai, lawatan berpandu dan pengenalan inisiatif digital.
Timbalan Presiden KDCA, John Anthony berkata, penubuhan muzium dan perpustakaan itu sebahagian pelaksanaan Strategic Goal 6 di bawah Visi KDCA 2034 yang memfokuskan usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya Kadazandusun.

Katanya, identiti masyarakat itu termasuk perubatan herba, sejarah lisan Nunuk Ragang, institusi Huguan Siou dan tradisi Bobolian kini berdepan risiko kepupusan akibat arus pemodenan dan jurang generasi.
“Inisiatif ini bukan sahaja tepat pada masanya, tetapi penting untuk memastikan warisan budaya kita terus kekal sebagai sumber identiti, kebanggaan dan pembelajaran bagi generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Huguan Siou, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan berkata, penubuhan muzium berkenaan menjadi benteng mempertahankan budaya dalam menghadapi perubahan zaman.

“Hari ini kita membina benteng terhadap hakisan budaya. Kita bukan sekadar menyimpan sejarah, tetapi melindungi jiwa masyarakat kita,” katanya.
Pengerusi Majlis Wanita KDCA, Datuk Joanna Kitingan pula berkata, kemudahan itu akan menggalakkan generasi muda menjalankan penyelidikan sendiri dan merujuk golongan lebih berpengalaman untuk memahami warisan budaya.

“Kami mengumpulkan pakaian tradisional yang autentik bersama cerita dan naratif penuh supaya ia dapat memberi manfaat kepada generasi muda,” katanya.
Beliau memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan Sabah Museum dalam aspek kepakaran, pameran dan pemeliharaan koleksi, selain memperluas akses maklumat menerusi perpustakaan digital.
Penubuhan Muzium dan Perpustakaan Koisaan dijangka menjadi pusat penyimpanan artifak, manuskrip dan rekod etnobotani, selain platform pendidikan melalui pameran, bengkel dan program budaya.
