Menteri wajar tolak bayaran interim progresif, hak 40% Sabah dibayar penuh sebelum PRU-16 – Jeffrey

WhatsApp Image 2026 11 21 at 11.46.14 PM

Oleh David E.

KOTA KINABALU: Hak 40% hasil bersih Sabah bukan sekadar angka dalam dokumen perlembagaan, tetapi soal pembangunan, kesejahteraan dan masa depan rakyat Sabah. Justeru, bayaran interim RM1.5 bilion yang berkaitan hak itu sepatutnya terpakai untuk 2026 sahaja, iaitu penyelesaian sementara sebelum Kerajaan Persekutuan dan Sabah memuktamadkan pengaturan pembayaran penuh.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, berkata kenyataan Menteri Persekutuan seperti dilaporkan media seolah-olah mencadangkan bayaran interim diteruskan selama lima tahun, bermula RM1.5 bilion dan meningkat setiap tahun.

“Jika pengaturan sedemikian telah diputuskan, menerimanya bermakna membenarkan bayaran interim menggantikan hak 40% Sabah selama lima tahun,” katanya dalam kenyataan media.

Justeru, beliau berkata Kerajaan Sabah wajar menolak cadangan lima tahun itu.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan bahawa tiada semakan sewajarnya dilakukan sejak 1974 dan bayaran interim, walaupun diwartakan, tidak membentuk Geran Khas 40% seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Kerajaan Sabah wajar menolak bayaran interim selanjutnya dan mengelakkan pemberian kesan undang-undang terhadap bayaran tidak sah yang telah dibatalkan Mahkamah Tinggi.”

Beliau berkata sebagai Menteri Persekutuan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud perlu memastikan hak 40% itu diselesaikan dan dimuktamadkan secepat mungkin.

Katanya, Kerajaan Persekutuan wajar menggunakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang akan datang sebagai peluang memastikan Geran Khas 40% perlembagaan dibayar sepenuhnya sebelum hari pengundian.

“Langkah itu akan menjana muhibah dan sokongan besar kepada Kerajaan Persekutuan, di samping membetulkan ketidakadilan serius yang dialami Sabah dan rakyatnya sejak lima dekad lalu.”

Beliau berkata Kerajaan Sabah pula perlu berdiri teguh mempertahankan hak Sabah dan menamatkan kesusahan rakyat yang berlarutan terlalu lama.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal