Peguam Dakwa Anak Guam Dihalang Masuk Sabah, Tuntut Penjelasan Ketua Menteri

3282535

KOTA KINABALU: 23 September 2025- Seorang ahli perniagaan yang sedang berdepan pertuduhan kes rasuah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa dihalang memasuki Sabah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada Isnin.

Peguam Mahajoth Singh berkata, anak guamnya Datuk Albert Tei tiba di KKIA untuk menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada pagi Selasa.

Bagaimana pun, beliau telah ditahan dan dimaklumkan tidak boleh memasuki negeri itu kerana terdapat sekatan dari Pejabat Ketua Menteri, sebagaimana dimaklumkan seorang pegawai imigresen.

Menurut Mahajoth, Albert hanya dibenarkan masuk selepas membuktikan kehadirannya ke Sabah bagi urusan mahkamah dengan menghubungi Pegawai Penyiasat serta menghantar dokumen berkaitan melalui emel kepada pegawai imigresen.

Kebenaran itu diberikan atas budi bicara pegawai imigresen dengan had tempoh dua hari.

Beliau menyifatkan tindakan berkenaan melanggar hak seorang warganegara serta bertentangan dengan Perkara 5 dan 9 Perlembagaan Persekutuan. Katanya, keadaan itu lebih membimbangkan kerana Albert sebelum ini pernah membuat dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah sendiri.

Beliau berkata, sebarang sekatan terhadap kemasukan beliau kelihatan bermotifkan kepentingan peribadi dan merupakan satu penyalahgunaan kuasa.

Mahajoth menuntut penjelasan dari Ketua Menteri Sabah mengenai dakwaan arahan tersebut, sambil menegaskan sama ada Pejabat Ketua Menteri benar-benar mengeluarkan arahan atau Jabatan Imigresen bertindak tanpa asas.

Beliau memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Menteri untuk memberikan maklum balas.

Untuk rekod, Albert antara tiga individu termasuk dua lagi ADUN yang didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu berkaitan kes rasuah melibatkan lesen perlombongan mineral di negeri Sabah.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal