GUANGZHOU: 13 November 2026 – “Perdagangan sepatutnya memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Rakyat perlu menikmati produk berkualiti pada harga yang munasabah, manakala komuniti perniagaan pula mendapat peluang mengembangkan pasaran dan meningkatkan pendapatan.”
Itulah inti perjuangan Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) yang kini mempergiat usaha membawa isu akses pasaran produk Sabah, khususnya durian, hasil perikanan dan sarang burung walit, ke peringkat kerajaan China.
Presiden MCCC, Datuk Dexter Lau berkata, ketiga-tiga sektor berkenaan masih berdepan kekangan dari segi laluan eksport kerana produk Sabah perlu melalui Semenanjung Malaysia sebelum dapat memasuki pasaran China.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja memanjangkan rantaian logistik, malah berpotensi meningkatkan kos perdagangan dan menjejaskan daya saing produk tempatan.
“Kami telah membangkitkan perkara ini kepada pihak kerajaan China, khususnya pegawai berkaitan pertanian, supaya mereka melihat keperluan membolehkan produk Sabah dieksport secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malaysia-China Economic & Trade Exchange & Business Matching Session di sini.
Dexter berkata, Sabah mempunyai kelebihan strategik dari segi hubungan pengangkutan susulan kewujudan kira-kira 12 penerbangan terus yang menghubungkan negeri itu dengan beberapa bandar di China.
Justeru, kemudahan perhubungan udara dan jaringan logistik sedia ada perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada peningkatan eksport dan peluasan aktiviti perdagangan rentas sempadan.
“Kita sudah mempunyai jaringan penerbangan terus dan kemudahan logistik antara Sabah dengan China. Persoalannya, mengapa kita tidak memanfaatkan kelebihan ini untuk meningkatkan skala perniagaan dan eksport?”
“Apabila produk dapat dipasarkan secara terus, ia berpotensi mengurangkan kos pengedaran, meningkatkan jualan dan memberi pilihan produk berkualiti pada harga lebih kompetitif kepada pengguna,” katanya.
Beliau menegaskan, MCCC komited memperjuangkan kepentingan komuniti perniagaan dengan memastikan hubungan perdagangan Malaysia-China diterjemahkan kepada peluang ekonomi yang nyata, khususnya kepada pengusaha dan pemain industri di Sabah.
Katanya, kerjasama perdagangan yang mampan perlu mewujudkan ekosistem saling menguntungkan, bukan sahaja kepada kerajaan dan syarikat, tetapi juga kepada pengeluar, pengeksport, pengimport dan pengguna kedua-dua negara.
Dexter menyifatkan misi perdagangan berkenaan sebagai sangat produktif kerana membuka ruang untuk mengetengahkan keperluan sebenar komuniti perniagaan Sabah, di samping memperkukuh asas kerjasama ekonomi jangka panjang antara Sabah dan China.
