Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
GIFU, JEPUN: 24 September 2026 — Dua pemain berasal dari Sabah menyumbang gol ketika Malaysia menewaskan Thailand 10-0 dalam aksi hoki lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Kawasaki Juko, Gifu, hari ini.
Muhajir Abdu Rauf membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti. Shello Silverius, juga dari Keningau, menambah gol pada suku terakhir.
Kemenangan itu mengekalkan rekod sempurna The Speedy Tigers. Malaysia sebelum ini menewaskan Uzbekistan 7-0 dan Oman dengan keputusan sama.
Dalam tiga perlawanan, Malaysia mengumpul 24 gol tanpa dibolosi.
Tiga pemain Sabah berada dalam skuad negara. Selain Muhajir dan Shello, Andywalfian Jeffrynus turut dipilih.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, hadir menyaksikan perlawanan itu. Beliau diiringi Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Haji Asun, dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor.
Selepas perlawanan, ketiga-tiga atlet menerima saguhati RM5,000 seorang dari Kerajaan Negeri Sabah atas pemilihan mewakili Malaysia.
Sumber: Majlis Sukan Negeri Sabah

