Malaysia Desak Selesaikan Konflik Gaza

photo 6120776976529296570 y

PUTRAJAYA: 18 November 2025 – Malaysia menegaskan bahawa keamanan berkekalan di Palestin hanya dapat dicapai melalui penyelesaian yang inklusif dan menyeluruh.

Justeru, Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan pelaksanaan segera resolusi berkaitan, termasuk menjamin hak rakyat Palestin seperti hak kenegaraan, kedaulatan, keutuhan wilayah dan hak pulang ke tanah air.

Malaysia menyambut baik kelulusan Resolusi Majlis Keselamatan PBB pada 17 November 2025, yang disifatkan sebagai langkah positif ke arah menamatkan konflik di Gaza.

Resolusi itu turut mengiktiraf Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza yang diumumkan pada 8 Oktober 2025 di Sharm El Sheikh, Mesir.

Keputusan berkenaan juga membuka ruang kepada penubuhan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi menyokong pembinaan semula, pemulihan ekonomi serta usaha penyahketenteraan di Gaza.

Malaysia dalam kenyataannya menegaskan komitmen berterusan untuk menyokong usaha berdasarkan undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam PBB, ke arah pembentukan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat mengikut sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sumber: Siaran Akhbar Wisma Putra

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal