Kursus durian tarik 142 peserta, minat industri semakin meningkat – Jamawi

IMG 2884.jpg

KENINGAU: 15 April 2026 – Seramai 142 peserta dari seluruh Sabah menghadiri Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau, sekali gus mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap industri tanaman durian di negeri ini.

IMG 2914 b

Datuk Jamawi merakam kenangan bersama peserta

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di semua 26 daerah di Sabah.

Menurutnya, pelbagai kursus akan dilaksanakan sepanjang tahun, merangkumi tanaman durian, avokado dan kursus berkaitan industri makanan untuk memperkasa keupayaan peserta dalam sektor agromakanan.

“Pada hari ini kita fokus kepada kursus tanaman durian di Keningau, tetapi di daerah lain kita juga akan laksanakan kursus avokado dan pelbagai kursus makanan.

“Ini adalah inisiatif Jabatan Pertanian untuk memastikan kita dapat memberikan ilmu kepada usahawan, petani dan penanam durian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan, sambil memaklumkan peserta yang hadir datang dari pelbagai daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu dan Papar.

Jamawi berkata, kementeriannya akan terus membantu penggiat industri, termasuk dari aspek pemasaran melalui kerjasama dengan persatuan berkaitan.

“Banyak usaha telah kita lakukan untuk memastikan produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih baik dan memberi pulangan kepada pengusaha,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Keningau disasarkan sebagai lokasi pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian yang akan diusahakan oleh pemain industri dengan bimbingan Jabatan Pertanian.

Katanya, usaha itu diharap dapat meningkatkan nilai tambah produk pertanian tempatan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.

Selain itu, Jamawi berkata, program Kebun Dapur akan diperluaskan melalui konsep mentor-mentee dengan penglibatan 23 mentor dalam pelbagai bidang termasuk tanaman durian dan penternakan ayam.

“Melalui pendekatan ini, mereka yang berpengalaman akan membimbing peserta secara berterusan supaya lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan tersebut juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, selain memastikan hanya peserta yang benar-benar berpotensi diberi sokongan.

“Jika sebelum ini bantuan diberi tanpa penilaian menyeluruh, kali ini kita sasar sekurang-kurangnya 80 peratus peserta berjaya melalui sistem bimbingan yang lebih tersusun,” katanya.

Dalam aspek pembiayaan, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan  Institusi kewangan Perbadanan Pinjaman Sabah untuk menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30,000 tanpa faedah, selain skim pinjaman dengan kadar faedah rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membantu peserta yang berpotensi untuk menceburi industri pertanian secara komersial.

Sementara itu, kementerian juga akan melancarkan Jelajah Kebun Dapur bersempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 1 Mei di Papar.

“Orang ramai dijemput hadir untuk melihat sendiri pelbagai inisiatif di bawah program Kebun Dapur dan peluang yang ditawarkan dalam sektor pertanian,” katanya.

Jamawi menegaskan bahawa usaha berterusan dalam pendidikan dan bimbingan petani adalah penting untuk memastikan sektor pertanian Sabah terus berkembang secara mampan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal