KUPIKUPI FM tembus Semenanjung, bawa suara Borneo ke khalayak lebih luas

839eb649 7e1a 4633 890d ad1591f91c16 edited

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KUALA LUMPUR: 15 Oktober 2026 – KUPIKUPI FM melakar sejarah sebagai stesen radio komuniti swasta pertama dari Borneo yang memperluaskan penyiaran radio FM terestrial ke Semenanjung Malaysia menerusi frekuensi 106.0 FM.

Pengembangan itu membolehkan stesen radio berkenaan didengari di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk mengetengahkan muzik, budaya dan kisah masyarakat Borneo kepada pendengar di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif OOGA X Sdn Bhd, Lester Calvin Miol, berkata langkah itu turut bertujuan menghubungkan masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung dengan kampung halaman mereka.

“Ini merupakan detik bersejarah buat kami. Kami mahu rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia mempunyai sebuah saluran radio yang boleh mereka dengari setiap kali merindui kampung halaman.

“Pada masa yang sama, kami mahu memberi peluang kepada saudara-saudari kita di Malaysia Barat untuk mengenali Borneo dengan lebih dekat,” katanya.

Menurutnya, pengembangan itu bukan bertujuan mendominasi industri penyiaran, sebaliknya menyumbang kepada kepelbagaian landskap media negara menerusi perkongsian budaya, muzik dan cerita dari Borneo.

914a3ad7 7e00 49cf 94e7 d7b61ce84980

KUPIKUPI FM SABAH dilancarkan pada Januari 2016 dan bersiaran menerusi frekuensi 96.3 FM, meliputi beberapa kawasan termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran dan Kota Belud.

Selain penyiaran, stesen itu turut melaksanakan lebih 30 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Sabah, kebanyakannya tertumpu kepada usaha membantu komuniti luar bandar mendapatkan bekalan air.

Operasinya turut berkembang menerusi pelancaran KUPIKUPI FM SARAWAK pada 9 Jun 2023, yang bersiaran di Kuching menerusi frekuensi 92.5 FM.

Kumpulan berkenaan turut mengembangkan perniagaan media digital menerusi portal berita INFO X, selain terlibat dalam penganjuran konsert, pengurusan acara dan aktiviti pemasaran.

Lester berkata, OOGA X Sdn Bhd berhasrat menjadi penghubung kepada perniagaan yang ingin memperkukuh kehadiran mereka di Sabah dan Sarawak menerusi kepakaran dalam penyiaran, promosi termasuk penglibatan komuniti.

Pengembangan ke Semenanjung Malaysia itu dijangka memperluas pendedahan terhadap bakat kreatif dan kepelbagaian budaya Borneo, sekali gus mengukuhkan hubungan antara Malaysia Timur dengan Malaysia Barat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal