KOTA KINABALU: 20 Jun 2026 — Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) mencadangkan agar sebahagian daripada bayaran 40 peratus hasil yang dikembalikan kepada Kerajaan Wilayah Sabah diperuntukkan khusus untuk pembangunan sektor seni, budaya dan industri kreatif negeri.
Pengerusinya, Chester Pang, berkata cadangan itu membolehkan kementerian berkaitan merancang dan melaksanakan program pembangunan industri kreatif yang lebih tersusun mengikut keperluan dan acuan Sabah sendiri.
Beliau merujuk pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai bayaran interim RM1.5 bilion kepada Sabah yang diumumkan di KDCA bulan lalu.
“Bagi jangka panjang, penyelesaian terbaik untuk membangunkan industri kreatif Sabah secara menyeluruh adalah melalui pulangan hasil 40 peratus kepada negeri. Mekanisme ini diyakini mampu menyokong perancangan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan industri kreatif tanpa menambah beban kewangan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut Chester, berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, jumlah kutipan gabungan cukai langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai tidak langsung oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sabah untuk tahun 2025 dianggarkan sebanyak RM7.547 bilion, dengan 40 peratus daripadanya bernilai sekitar RM3.019 bilion.
Anggaran tersebut, katanya, belum mengambil kira hasil dari sektor petroleum, kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan hasil yang dikutip oleh agensi Kerajaan Persekutuan lain di Sabah.
Beliau berpandangan sekiranya hanya lima peratus daripada jumlah RM3 bilion itu, iaitu kira-kira RM150 juta, diperuntukkan khusus kepada pembangunan industri kreatif Sabah melalui kementerian berkaitan, jumlah itu sudah cukup signifikan untuk memperkukuh ekosistem industri kreatif negeri.
“Peruntukan tersebut berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada penggiat seni tempatan, meningkatkan daya saing industri, menarik pelaburan kreatif dan merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga di Sabah secara lebih mampan dan inklusif,” katanya.
Chester menegaskan bahawa tuntutan itu merupakan sebahagian daripada hak hasil Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan KREATIF SABAH akan terus menyokong usaha Kerajaan dalam memperjuangkan hak kewangan Sabah.
Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat persiapan akhir Program Apresiasi Filem Sabah (AFiS) 2026 bersama TV Sabah selaku rakan media rasmi yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kinabalu Media Sdn Bhd, Suzanne Bingkasan.
Program yang berlangsung selama tiga hari dari 26 hingga 28 Jun 2026 itu akan diadakan di Suria Sabah dengan pelbagai pengisian termasuk lima sesi perkongsian ilmu bersama tokoh profesional dan berpengalaman dalam bidang perfileman.
Selain itu, lima filem Sabah akan ditayangkan di GSC Suria Sabah manakala acara kemuncaknya ialah Malam Anugerah Golden Wind Award (GoWA) Kali Ke-4 yang dijadual dirasmikan Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan selaku tetamu kehormat.
