TAWAU: 29 Julai 2026 – Seorang kontraktor tempatan berusia 35 tahun ditahan polis kerana disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang berusia empat tahun di Tawau, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt memaklumkan, kes tersebut terbongkar selepas pihak polis menerima laporan dari seorang pegawai perubatan Hospital Tawau pada jam 6.15 petang, sejurus mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Ibu mangsa telah membawa kanak-kanak tersebut ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau selepas anaknya memberitahu bahawa bahagian sulitnya telah disentuh oleh bapanya.
Selepas laporan diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bertindak menjalankan siasatan. Suspek berjaya dikesan dan ditahan di perkarangan Hospital Tawau pada jam 10.50 malam hari yang sama.
Suspek kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Proses merakam keterangan masih diteruskan.
Wilynton merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya petugas Hospital Tawau, atas tindakan pantas dan profesional dalam mengesan serta melaporkan kes berkenaan.
“Kerjasama berkenaan membolehkan siasatan dimulakan segera di samping memastikan kebajikan, keselamatan dan perlindungan mangsa terus menjadi keutamaan,” katanya.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat mengikut peruntukan undang-undang.
Orang ramai turut diseru supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki berlaku penderaan atau jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

