KENINGAU: 29 Jun 2026 – Kolej Vokasional Keningau mencipta sejarah apabila projek inovatifnya, The Good Games Project, meraih Anugerah Emas dalam International Innovation Competition in Education yang berlangsung sempena International Innovative Science and Mathematics Education Festival 2026 di Keningau baru-baru ini.
Kejayaan itu menunjukkan pendekatan pembelajaran yang kreatif, mudah diakses dan berteraskan komuniti mampu memberikan impak signifikan terhadap pembangunan sahsiah dan kemahiran, termasuk keyakinan diri, komunikasi, pemikiran kritis, kepimpinan dan kerjasama berpasukan.

The Good Games Project merupakan inisiatif yang menggunakan permainan papan sebagai medium pembelajaran interaktif untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.
Melalui pendekatan tersebut, pelajar dilatih menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berkomunikasi dengan berkesan dan membimbing rakan sebaya dalam persekitaran yang lebih santai dan kondusif.
“Inovasi tidak perlu mahal atau berteknologi tinggi. Idea yang dekat dengan pelajar dan dilaksanakan secara konsisten mampu memberi impak besar,” kata penasihat porjek, Khalifa Affnan.
Ia turut diperluaskan ke komuniti setempat di Keningau melalui sesi bimbingan, menjadikan pelajar sebagai mentor muda. Ia memberi manfaat bukan sahaja kepada individu, malah kepada komuniti secara keseluruhan.

Pasukan The Good Games Project dibimbing oleh Khalifa Affnan selaku penasihat, dengan Melvin Kut Eber sebagai ketua mentor, dibantu oleh Aoudry Ann Thien dan Elisha Carmen Erick.
Kejayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kolej Vokasional Keningau dalam memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti selaras dengan aspirasi melahirkan graduan TVET yang berkemahiran tinggi, berdaya saing dan mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat.
Pihak Kolej Vokasional Keningau berharap pengiktirafan di pentas antarabangsa itu menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelajar dan pendidik untuk terus menghasilkan inovasi pendidikan yang berkualiti dan mampu mengangkat nama institusi dan negara di persada global.

