KOTA KINABALU: 14 April 2026 – Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek keperluan mendesak serta yang boleh dilaksanakan dengan segera dan memberi manfaat cepat kepada rakyat, khususnya projek di bawah institusi pendidikan dan hospital.
Berdasarkan laporan MyProjek, katanya negeri Sabah menerima peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebanyak RM6.59 Bilion meliputi 1,233 projek atau program yang menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan untuk memastikan Sabah terus maju seiring dengan hasrat Kerajaan MADANI dan SMJ 2.0.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mempengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada 13 April 2026.
“Saya juga mahu pemantauan lebih lebih kerap kepada projek-projek pembangunan yang dilaksanakan agar tidak berlaku kelewatan.
“Isu dan masalah pelaksanaan projek perlu diteliti dan dirujuk kepada saluran yang tepat seperti agensi pusat yang berkaitan dan Kerajaan Negeri sekiranya terdapat masalah seperti peruntukan, isu tanah dan isu utiliti,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di Menara Kinabalu pada Isnin.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu pada 15 Mac 2026 yang lalu telah memberi penekanan kepada pelaksanaan segera projek-projek kecil yang bersifat “low-hanging fruit” (mudah disiapkan) yang boleh memberi impak segera kepada rakyat.
“Projek-projek kecil ini perlu dilaksanakan dengan cekap, pantas, mengikut jadual dan penuh integriti agar ianya dapat segera dinikmati rakyat negeri Sabah.
“Tidak sewajarnya projek-projek dalam kategori ini mengalami lewat jadual atau menjadi sakit, selalunya disebabkan oleh isu-isu setempat seperti pemilikan tanah, utiliti dan sebagainya.
“Saya mahu agar agensi pelaksana dan pemilik projek dapat membuat pemantauan yang kerap bagi pelaksanaan projek “low-hanging fruit” ini,” katanya.
Hajiji berkata Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah 2026 merupakan kesinambungan agresif dari agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
