Ketua Warden Akui Arah Zara Qairina Diangkat ke Depan Bilik Warden

photo 2025 09 17 19 28 33

KOTA KINABALU: 17 September 2025 – Ketua warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, mengaku mengarahkan pelajar mengangkat Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebaik tiba di lokasi remaja itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama, pada awal pagi 16 Julai lalu.

Azhari, 31, yang mula bertugas sebagai ketua warden pada Februari tahun ini, berkata arahan itu diberikan kerana beliau pada mulanya tidak menyedari kecederaan serius yang dialami mangsa.

Beliau hanya melihat kecederaan pada kaki kiri arwah sebelum menemui kesan darah di bucu longkang selepas tubuh pelajar itu diangkat.

Pada mulanya arwah dirancang dihantar terus ke hospital menggunakan kereta, namun rancangan itu tidak diteruskan kerana keadaan fizikal yang berat untuk diusung.

Sebagai alternatif, arwah diletakkan di kawasan terlindung di depan bilik warden dengan beralaskan kain pelikat.

Mengulas persoalan mengapa arwah tidak ditempatkan di bilik sakit yang terletak berhampiran lokasi kejadian, Azhari menjelaskan bilik berkenaan sebenarnya adalah bilik ketua pelajar asrama yang baharu dinamakan sebagai bilik sakit pada tahun ini.

Keputusan meletakkan arwah di depan bilik warden dibuat kerana mahu segera menghantarnya ke hospital serta mengelakkan pelajar lain berasa trauma.

Prosiding inkues kematian Zara Qairina, pelajar tingkatan satu, diteruskan dengan keterangan Azhari sebagai saksi kelapan.

Sumber: Buletin TV3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal