Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAMBUNAN: 12 September 2026 – Seorang wanita berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan, semalam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 petang, sebelum siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat senjata tajam.
Susulan itu, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan anak kandung mangsa.
Suspek kemudian berjaya ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan sebelum diserahkan kepada polis di Balai Polis Tambunan.
Tangkapan rasmi terhadap suspek dibuat pasukan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau setibanya di perkarangan balai berkenaan.
Pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan dengan kejadian.
Mayat mangsa dihantar ke hospital tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti motif dan kronologi penuh kejadian.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kes berkenaan.
Sumber: Polis Daerah Keningau

