Kerajaan lulus 13,343 jawatan baharu KKM, perkukuh sistem kesihatan dan agenda bumiputera

WhatsApp Image 2026 07 31 at 9.10.38 AM

Gambar ilustrasi

Oleh: Nurul Fazliana Norman

PUTRAJAYA: 31 Julai 2026 – Kerajaan meluluskan 13,343 jawatan baharu tanpa tukar ganti di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memperkukuh sistem kesihatan awam, menyokong pengoperasian 256 fasiliti kesihatan baharu dan yang dinaik taraf, selain mengukuhkan pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) menerusi pengukuhan Unit Pemerkasaan Bumiputera (UPB) di semua kementerian.

Kelulusan itu melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.25 bilion setahun dan merupakan antara dua langkah strategik yang diumumkan Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam selain menyokong pembangunan negara selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Dari jumlah keseluruhan jawatan yang diluluskan, 7,218 jawatan melibatkan lima skim perkhidmatan utama, iaitu 1,197 Pegawai Perubatan, 239 Pegawai Pergigian, 339 Pegawai Farmasi, 3,471 Jururawat dan 1,972 Penolong Pegawai Perubatan.

Sementara itu, baki 6,125 jawatan melibatkan pelbagai skim perkhidmatan lain yang menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih berkualiti kepada rakyat.

Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperakukan sebanyak 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM sejak tahun 2019, sekali gus memperkukuh keupayaan sistem kesihatan negara dalam memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Kerajaan turut memperkukuh pelaksanaan PuTERA35 melalui pengukuhan UPB di semua kementerian berdasarkan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2025.

Langkah itu bertujuan untuk memperkemas penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan 132 ikhtiar PuTERA35 di semua kementerian dan agensi, termasuk penjenamaan semula Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) kepada UPB, selain meletakkan penyeliaannya di bawah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) atau Timbalan Ketua Setiausaha yang menerajui dasar dan perancangan strategik kementerian.

“Kedua-dua langkah strategik itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh keupayaan sektor awam sebagai pemacu pembangunan negara.”

“Melalui pengukuhan sistem kesihatan awam dan pelaksanaan PuTERA35 yang lebih berkesan, Kerajaan akan terus memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, inklusif dan berimpak tinggi untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” menurut kenyataan itu.

Sumber: Jabatan Perkhidmatan
Awam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal