200 peserta Perkemahan Antarabangsa ‘serbu’ Tenom, tabung SK St Anthony turut bertambah

WhatsApp Image 2026 10 17 at 11.45.08 PM

oleh David E.

TENOM: 17 Oktober 2026 – Seramai 200 peserta perkhemahan dari Brunei Darussalam, Indonesia, Labuan dan Sarawak berkumpul di Taman Pertanian Sabah, yang turut dikenali sebagai Camping Island, dalam satu program yang bukan sahaja memperkenalkan tarikan taman berkenaan malah membantu menambah tabung Sekolah Kebangsaan (SK) St Anthony di sini.

Perkhemahan Strategik MADANI Santuni PIBG anjuran SK St Anthony itu disempurnakan oleh Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga ADUN Melalap, Datuk Jamawi Jaafar, malam ini.

Menurut Jamawi, program tersebut merupakan inisiatif untuk mempromosikan lokasi berkenaan kepada komuniti peminat aktiviti perkhemahan sambil memberi manfaat kepada sekolah menerusi aktiviti dilaksanakan.

Beliau berharap lebih banyak inisiatif seumpama itu dapat dilaksanakan untuk menggalakkan aktiviti pelancongan komuniti sambil memperkenalkan destinasi menarik di Sabah kepada orang ramai.

Terdahulu, dalam usaha menjadikan Tenom destinasi pelancongan utama Sabah selepas Kundasang dan Semporna, Jamawi berkata pembangunan pakej pelancongan akan mengetengahkan sejarah, produk pertanian, kopi tempatan dan keindahan alam semula jadi daerah itu.

Usaha itu, katanya, akan diperkukuh menerusi cadangan penganjuran Tahun Melawat Tenom 2027 bersempena Tahun Melawat Sabah 2027.

“Dalam tempoh dua bulan ini, saya yakin kita dapat memuktamadkan pakej-pakej pelancongan dan tempat menarik yang boleh dipromosikan kepada masyarakat luar supaya memilih Tenom sebagai salah satu destinasi pelancongan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata jawatankuasa Discover Tenom yang ditubuhkan April lalu sedang mengenal pasti potensi pelancongan di Tenom dan Kemabong, termasuk lokasi menarik yang boleh dibangunkan secara komersial.

Antara tarikan yang boleh diketengahkan ialah Kopi Tenom, Pamelo Tenom, Rundum Highland Resort, Naluyan Jungle Lodge Resort, Pusat Kebudayaan Murut, Taman Pertanian Sabah, Yong Farmstay dan kawasan alam semula jadi yang berpotensi menarik lebih ramai pengunjung.

Jamawi berkata pihaknya juga akan mengusulkan kepada Jabatan Keretapi Negeri Sabah supaya perkhidmatan kereta api ekspres dari Tanjung Aru ke Tenom disediakan setiap Sabtu dan Ahad, dengan perjalanan pulang sebelah petang.

“Dengan adanya perkhidmatan ini, lebih ramai pengunjung dari luar dapat datang ke Tenom. Kita juga boleh menyediakan pakej pelancongan dua hari satu malam dan tiga hari dua malam yang menggunakan pengangkutan kereta api,” katanya.

Jelasnya, persediaan turut melibatkan penambahbaikan infrastruktur, kemudahan restoran yang bersih, penginapan selesa dan tempat letak kereta bagi memastikan pengunjung mendapat pengalaman baik.

– TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal