Kehadiran gajah mengganggu kehidupan penduduk Kampung Gambaron sejak 2019

Copy of Gambar Artikel 1 20260909 124308 0000

TELUPID: Kehadiran gajah liar yang memasuki kawasan Kampung Gambaron sejak 2019 bukan lagi dianggap gangguan bermusim, sebaliknya semakin menjadi ancaman kepada keselamatan dan sumber pendapatan penduduk setempat.

Kemunculan gajah berlaku sejak 2019 hingga 2022 sebelum kembali berlaku secara berterusan mulai awal 2024 sehingga kini, termasuk menghampiri kawasan kediaman dan kebun untuk mencari makanan.

1003649782
Kehadiran “si aki” atau gajah di kawasan perkampungan. Foto – Marcellindo

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gambaron, Diana Kudus berkata, tanaman menjadi antara mangsa utama, dengan kebun kelapa sawit, buah-buahan, pisang, nanas, ubi kayu dan pelbagai sayuran mengalami kerosakan.

Katanya, kerugian tanaman sawit sahaja dianggarkan melebihi RM5,000 untuk sesetengah kebun, manakala jumlah keseluruhan kerugian masih belum dapat dikenal pasti secara tepat.

“Penduduk sangat terancam dan tidak lagi berani ke kebun seperti dahulu kerana bimbang terserempak dengan gajah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Jassicea, berkata kehadiran gajah yang tidak terkawal menyebabkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat di kampung berkenaan.

“Laluan gajah turut melalui kawasan kediaman ketika keluar dan kembali mencari makanan, malah haiwan berkenaan pernah cuba memasuki rumah penduduk,” katanya.

Tambahnya lagi, keadaan itu menyebabkan penduduk sentiasa berada dalam kebimbangan, terutama ketika perlu keluar ke kebun.

Sementara itu, Johnny Chong berkata pelbagai aduan sudah dibuat berulang kali termasuk laporan polis dan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL), namun penduduk mendakwa masalah berkenaan masih berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.

1003649781
Harta benda turut rosak akibat kehadiran gajah di kawasan kampung

Penduduk setempat berpandangan tindakan sedia ada iaitu pemasangan pagar dawai elektrik belum berkesan dan masalah itu akan terus berulang sekiranya langkah lebih menyeluruh tidak dilaksanakan.

Mereka mahu pihak berkuasa meningkatkan pemantauan, memindahkan gajah ke kawasan yang lebih jauh dari penempatan dan membaiki semula pagar atau dawai elektrik yang sebelum ini menjadi penghalang.

Cadangan lain termasuk pembinaan parit di sepanjang sempadan pagar elektrik untuk memperkukuh kawalan, selain mewujudkan kawasan penempatan atau habitat khas gajah yang berpotensi dibangunkan sebagai tarikan ekopelancongan.

Diana turut mencadangkan kaedah menghalau gajah yang selamat dan dikawal pihak berkuasa, termasuk penggunaan bunyi tertentu, untuk mengelakkan konflik lebih serius antara manusia dan hidupan liar.

Isu berkenaan bukan lagi sekadar soal kerosakan tanaman, tetapi menyentuh keselamatan penduduk dan kelangsungan hidup komuniti yang bergantung kepada kebun sebagai sumber pendapatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal