KUALA LUMPUR: 2 Julai 2026 – Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, menggesa Parlimen menggubal undang-undang lebih ketat terhadap jenayah siber, mendedahkan kerugian hampir RM3 bilion akibat penipuan dalam talian pada 2025 dan peningkatan 26.5% kes seksual kanak-kanak.
Menurut data yang dibentangkan, sebanyak 66,200 kes penipuan direkod pada 2025 dengan kerugian hampir RM3 bilion, manakala 2023 mencatat lebih 30,000 kes. Pada tahun sama, 1,567 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak dilaporkan, meningkat 26.5% berbanding tahun sebelumnya.
Antara 2024 hingga April 2026, lebih 1.4 juta fail digital berkaitan penderaan seksual kanak-kanak dikesan, termasuk kes grooming, sextortion, dan eksploitasi menerusi AI deep fake.
Jeffrey mencadangkan enam langkah – menjadikan grooming dalam talian kesalahan khusus walaupun tanpa sentuhan fizikal; memberi kuasa segera kepada polis untuk menurunkan kandungan abuse; mewajibkan platform media sosial melaporkan dan menghapuskan kandungan dalam tempoh ditetapkan; mengkriminalkan penghasilan, pemilikan dan penyebaran imej/video AI eksploitasi kanak-kanak; memperuntuk hukuman lebih berat kepada sindiket rentas sempadan; serta menyediakan perlindungan menyeluruh mangsa termasuk kaunseling, bantuan guaman dan kerahsiaan identiti.
Satu cadangan utama ialah meletakkan tanggungjawab undang-undang ke atas platform digital yang gagal bertindak segera walaupun mengetahui kandungan abuse wujud di platform mereka.
“Penjenayah siber ini bukan lagi ancaman masa hadapan ia adalah realiti pada hari ini,” tegasnya.
Beliau menekankan keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan individu dengan keperluan meningkatkan pendidikan awam.
“Undang-undang yang kita gubal mestilah bukan mampu menghukum penjenayah tetapi juga melindungi rakyat, mempertahankan keselamatan negara, memelihara maruah kanak-kanak, menggalakkan inovasi yang bertanggungjawab dan menjamin bahawa kemajuan teknologi sentiasa berpaksikan nilai kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang.”
Beliau turut bertanya mengenai peranan, kuasa dan keanggotaan Jawatankuasa Membanteras Jenayah Siber.

