RANAU: Tindakan pantas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah membuahkan hasil selepas seramai 71 pendatang tanpa izin (PATI) ditahan dalam dua operasi serentak di Ranau dan Sandakan.
Di Sandakan, pasukan penguat kuasa bertindak mengejut seawal jam 1.35 pagi menerusi Ops Sapu dengan membongkar lima kubu persembunyian PATI di Kampung Ulu Dusun, Kampung Bimbim, Gum-Gum Kuari 7, Kuari 2 dan Flat Taman Sejati.
Hasil serbuan tengah malam itu menyaksikan 83 individu diperiksa, manakala 50 PATI diberkas termasuk 25 kanak-kanak.
Sementara itu di Ranau, 14 pegawai Imigresen bersama anggota RELA menggempur tiga lokasi panas susulan risikan dan aduan awam, membuahkan hasil apabila 21 warga Filipina ditahan selepas 24 individu diperiksa.
Secara keseluruhan, 107 individu disaring dalam kedua-dua operasi itu, dengan 71 PATI (68 warga Filipina dan tiga warga Indonesia) kini dikurung di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
JIM Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berhenti menggempur sarang PATI dan menyeru orang ramai terus menyalurkan maklumat melalui portal SISPAA dan SPO untuk membantu mempertahankan kedaulatan negara.
