GUANGZHOU: 11 November 2026 – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bersama Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, mengetuai delegasi kerajaan dan sektor perniagaan Sabah ke Guangzhou, China, untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian, perikanan, industri makanan dan perdagangan.
Rombongan kini berada di China untuk selama empat hari bermula 11 hingga 14 November melibatkan 120 wakil dari pelbagai sektor menerusi program Lawatan Pertukaran Kerajaan dan Perniagaan Malaysia-China ke Guangzhou, Kajian Industri dan Majlis Makan Malam Jaringan Perniagaan.
Inisiatif anjuran bersama Kerajaan Sabah dan MCCC Sabah itu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keterjaminan makanan, memodenkan industri pertanian dan memperluas jaringan perdagangan serta pelaburan antara Sabah dengan China.
Dexter berkata, lawatan itu mendapat sokongan penuh Kerajaan Sabah dan mencerminkan komitmen negeri dalam memperluas hubungan perdagangan dan ekonomi antarabangsa.”
Dengan sokongan Datuk Jamawi, kami berharap delegasi ini dapat memperkenalkan secara menyeluruh kelebihan dan potensi pelaburan Sabah dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan kepada pihak kerajaan dan komuniti perniagaan China,” katanya.
Menurutnya, keterjaminan makanan, penggunaan teknologi pertanian dan pemodenan industri makanan merupakan antara fokus utama lawatan berkenaan, khususnya dalam menghadapi perubahan rantaian bekalan makanan global.
Beliau berkata, kerjasama dalam pertukaran teknologi, pelaburan industri dan perniagaan berpotensi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan daya saing industri tempatan.
Lawatan berkenaan turut membuka peluang kepada syarikat Sabah untuk menembusi pasaran Greater Bay Area, mencari rakan strategik di China dan memperluas saluran pemasaran produk.
Usaha itu diharap dapat memperkukuh hubungan perniagaan jangka panjang dan menghubungkan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah dengan pasaran antarabangsa.
