KOTA BELUD: 27 Ogos 2026 — Projek menaik taraf Jalan Tengkurus-Lahanas Siba-Lahanas Sokid sepanjang 12.4 kilometer kini mencapai 81.4 peratus dan dijadualkan siap pada Julai 2027.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, projek bernilai RM61 juta itu dijangka memberi manfaat kepada ribuan penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas.
“Projek ini kini mencapai prestasi pelaksanaan 81.4 peratus dan dijadualkan siap mengikut lanjutan masa kedua (EOT2) pada Julai 2027.
“Apabila siap sepenuhnya, projek menaik taraf jalan ini akan menjadi ‘game changer’ kepada ribuan penduduk di Mukim Tengkurus-Lahanas kerana ia akan memberikan akses jalan raya yang lebih baik dan seterusnya menyokong kegiatan ekonomi serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Tambahnya, projek tersebut merupakan satu daripada lima projek utama menaik taraf jalan raya yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas meninjau projek berkenaan dan beberapa projek berskala besar di kawasan Kadamaian, kelmarin.

