Gambar ilustrasi
Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTRAJAYA: 12 Ogos 2026 – Serian, Sarawak mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) 204 pada tahap sangat tidak sihat, setakat jam 3 petang hari ini, susulan situasi jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos lalu, manakala 11 stesen pemantauan lain merekodkan bacaan tidak sihat.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan, sembilan daripada 11 stesen berkenaan terletak di Sarawak, iaitu Samarahan dan Kuching yang masing-masing mencatat IPU 177, Sarikei (161), Sri Aman (158), Bintulu (154), Miri (152), Sibu (135) dan Samalaju (120).
Di Semenanjung Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur merekodkan IPU 122, Putrajaya (121) dan Shah Alam manakala Selangor (112).
Menurut NRES, kemerosotan kualiti udara di Sarawak berpunca dari jerebu rentas sempadan dan kebakaran tempatan di tapak pelupusan sampah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (SMC), yang melibatkan anggaran kawasan seluas 1.5 hektar.
Kebakaran hutan dan belukar di Sri Aman turut berlaku dengan anggaran keluasan 100 hektar, manakala operasi pemadaman masih giat dijalankan di kedua-dua lokasi.
Pemantauan satelit NOAA-20 pada 11 Ogos turut mengesan 12 titik panas di Malaysia, termasuk 11 di Sarawak dan satu di Pahang.
Sebanyak 60 titik panas dikesan di Sumatera dan 354 di Kalimantan.
NRES menjangkakan keadaan kering berterusan di kebanyakan kawasan selatan rantau ASEAN, yang berpotensi meningkatkan kejadian titik panas dan jerebu rentas sempadan.
Orang awam di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, memakai pelitup muka, minum air secukupnya dan mengelakkan pembakaran terbuka.
Sumber: Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam

