PAPAR: 13 Ogos 2026 – Innovators of Tomorrow Challenge berjaya menyemarakkan Karnival STEM Peringkat Daerah Papar menerusi penglibatan murid dalam penghasilan projek dan inovasi berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di SK Kimanis, di sini, pada 12 Ogos.
Program bertemakan “Inovasi Hari Ini, Perubahan Esok!” itu disertai enam sekolah, iaitu SK Kimanis, SK Pekan Kimanis, SK Mandahan, SK Pekan Bongawan, SK Tampasak dan SK St Mary.

Majlis penutupan disempurnakan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Lofti Ibrahim, yang menekankan kepentingan inovasi dalam membentuk murid kreatif, kritis, berani mencuba dan berkeupayaan menyelesaikan masalah.
Beliau berkata perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik menuntut murid bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya turut mampu menjadi pencipta dan inovator masa hadapan.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur yang juga Guru Besar SK Kimanis, Zaini Jair, berkata pertandingan itu menjadi platform murid mengaplikasikan kemahiran STEM, menghasilkan projek, menyelesaikan masalah serta membentangkan dan mempertahankan idea di hadapan tiga guru pakar daerah yang dipilih sebagai juri.
“Menang atau kalah bukan ukuran utama. Keberanian mencuba, membentangkan idea dan belajar dari pengalaman itulah kemenangan sebenar,” katanya.
Penganjuran itu turut membina kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan, selain memberi pengalaman kepada murid menyertai pertandingan di peringkat daerah.

