KUALA LUMPUR: 19 Julai 2026 – Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, membangkitkan kelewatan serius dua projek jambatan di kawasannya iaitu Jambatan Kampung Samalang dan Jambatan Apin-Apin dalam Kamar Khas, Parlimen Kelima Belas, Penggal Kelima, Mesyuarat Kedua pada Khamis.
Jeffrey berkata, kedua-dua projek belum siap dan kelihatan terbangkalai, justeru menjadi isu hangat dengan pelbagai tuduhan dan tomahan oleh penduduk tempatan disebabkan kesengsaraan yang mereka hadapi.
Isu tersebut telah dipaparkan di media sosial termasuk laman web Facebook Sabah Revolusi dan menarik banyak kritikan termasuk gesaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya membuat siasatan.
Projek Jambatan Kampung Samalang yang bermula 22 November 2023 sepatutnya siap pada 21 Mei 2025, namun setakat 5 Jun 2026 masih belum siap. Manakala Jambatan Apin-Apin yang bermula 20 Mei 2024 dengan dua lanjutan masa sehingga 12 November 2026, kini kemajuan fizikal kurang daripada 40 peratus.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah binti Wang, menjelaskan bahawa projek Jambatan Kampung Samalang bukan projek terbengkalai, sebaliknya kemajuan sebenar sehingga 30 Jun 2026 mencecah 95.6 peratus. Kelewatan 4.4 peratus (42 hari) berpunca dari kelewatan pembayaran tuntutan interim, kelemahan pengurusan kontraktor dan cuaca buruk. Beliau memberi jaminan projek akan disiapkan pada Ogos 2026.
Jambatan Apin-Apin pula berada di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya.
Jeffrey turut membawa tuntutan pampasan oleh mereka yang terkesan akibat kelewatan projek berkenaan.
Mengenai permohonan pampasan Rubiah berkata kerajaan tiada peruntukan khas dan projek masih dalam tempoh pelaksanaan munasabah.
Jeffrey juga mengemukakan usul mengenai kesesakan lalu lintas teruk di Bandar Keningau yang berlarutan bertahun-tahun dan menjejaskan perniagaan dan ekonomi setempat.
Beliau mencadangkan pembinaan jalan alternatif, jalan pintas (bypass), jejambat pusingan U, dan jambatan kedua merentasi Sungai Pegalan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, memaklumkan bahawa Laluan Persekutuan 500 (Jalan Tambunan–Keningau–Tenom) mempunyai tahap perkhidmatan LOS A yang masih mampu menampung trafik. Namun, Jalan Keningau–Tawau (jalan negeri) mencatat LOS E yang menunjukkan trafik sesak.
Beliau menasihatkan kerajaan negeri melalui UPEN dan JKR Negeri supaya mengemukakan permohonan projek secara rasmi untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan.
Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan projek Jalan Relief Keningau bernilai RM36 juta (6 kilometer, spesifikasi JKR R2) dengan kemajuan 30 peratus dan dijadual siap Julai 2028.
Kerajaan negeri Sabah turut melaksanakan kajian “Proposed Priority Roads Projects in Keningau” untuk penyelesaian jangka panjang.

