KOTA KINABALU: 14 September 2026 – Penyanyi Marsha Milan menyifatkan perkembangan peserta sebagai perkara penting dalam Borneo Rising, terutama ketika mereka masih membina pengalaman sepanjang lapan minggu pertandingan.
Menurut Marsha, sebahagian peserta masih kurang berpengalaman kerana belum mempunyai platform luas. Justeru, pertandingan itu menjadi ruang untuk mereka memperoleh pengalaman, pembelajaran dan memperbaiki persembahan dari minggu ke minggu.
Katanya, perbezaan pengalaman antara peserta baharu dengan peserta yang sudah bergelar artis sememangnya ketara, namun status sebagai artis tidak menjamin seseorang mampu mengekalkan dinamik persembahan sepanjang pertandingan.
“Ini tentang kemajuan. Mereka perlu mempunyai lebih banyak pengalaman supaya dapat memperbaiki diri sebagai seorang penghibur,” katanya.
Marsha turut mengakui kesilapan peserta merupakan sesuatu yang pernah dilalui penggiat industri, sekali gus menyebabkan Marsha perlu lebih adil ketika memberikan markah kerana pertandingan menuntut penilaian secara profesional.
Mengulas peluang peserta mendapat pendedahan di Semenanjung, Marsha berkata mereka sebenarnya sudah menerima perhatian menerusi media sosial, terutama selepas minggu pertama sebagai pengenalan kepada penonton.
Mengulas Anugerah Industri Muzik (AIM), Marsha teruja kerana penganjuran kali ini berlangsung di lokasi berbeza. Marsha turut gembira dengan pengenalan kategori khas Borneo.
Marsha berkata dia menerima empat pencalonan lagu dalam tiga kategori pada AIM kali ini, selain berharap membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi.
Mengulas kategori vokal wanita terbaik, Marsha mengakui saingan sengit kerana setiap calon mempunyai kehebatan tersendiri. Katanya, fokus utamanya lebih kepada pencalonan lagu, manakala kemenangan diserahkan kepada rezeki.

