ICQS Bantul diperkasa, kawalan sempadan Sabah ditingkatkan

727884693 1804159267272620 533605585103027572 n

KENINGAU: 22 Jun 2026 – Usaha memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan Sabah terus dipergiat menerusi projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta Jeti Bantul di Pagalungan, Nabawan.

Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Negeri Sabah, Datuk Hj. Awang Shahminan bin Datuk Hj. Ag. Sahar berkata, pembangunan infrastruktur sempadan yang bersepadu adalah penting demi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan, memudah cara urusan rentas sempadan dan menyokong pembangunan kawasan pedalaman.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembangunan Sempadan Sabah di Pejabat Daerah Keningau pada 19 Jun, diikuti lawatan kerja ke tapak projek di Pagalungan pada 20 Jun.

Mesyuarat dan lawatan itu bertujuan meneliti perkembangan semasa projek, mengenal pasti cabaran pelaksanaan dan menyelaras tindakan antara agensi bagi memastikan projek berjalan mengikut perancangan.

Terdahulu, wakil PBLT Sdn. Bhd. bersama perunding menyampaikan taklimat mengenai status terkini projek kepada delegasi. Perbincangan memberi tumpuan kepada aspek pelaksanaan, keperluan infrastruktur sokongan dan langkah penyelesaian isu dikenal pasti.

Turut hadir Timbalan Pengarah Imigresen (Pengurusan), Mat Reo bin Oredi; Ketua Bahagian Kewangan dan Pembangunan, Dewitt Ferrer David Joannes; Ketua Operasi Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Romel Macoco Rodolfo; serta Ketua Unit Pembangunan, Tc. Mohd Kamil bin Daud.

Projek ini mencerminkan komitmen Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah bersama agensi berkaitan dalam memperkukuh pengurusan sempadan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal