KOTA KINABALU: 27 September 2026 — Harga lateks di Sabah meningkat RM2.28 sekilogram kepada RM9.17 sekilogram berbanding RM6.89 sekilogram pada Disember 2025.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata peningkatan itu menunjukkan potensi nilai ekonomi yang boleh dimanfaatkan melalui penghasilan produk hiliran berasaskan lateks tempatan.
Beliau berkata demikian semasa majlis pelancaran Bantal Lateks Lumi Borneo, di Suria Sabah, kelmarin.
Menurutnya, harga kentalan turut meningkat dari RM3.56 sekilogram pada Disember 2025 ke RM5.40 sekilogram pada masa ini.
“Apabila kita berjaya memproses lateks dan hasil pekebun kecil menjadi bantal, maka kentalan kita pun naik,” katanya.
Jelasnya, pendekatan menambah nilai kepada hasil pertanian perlu diperluaskan supaya manfaatnya dapat dirasai pengeluar tempatan.
“Kalau kita boleh menambah nilai, maka ia akan memberikan makna yang lebih kepada pelanggan kita. Hari ini Lembaga Industri Getah Sabah telah menambah nilai lateks menjadi bantal yang boleh memberikan mimpi indah kepada penggunanya,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan sama boleh diterapkan dalam sektor pertanian dan perikanan dengan menghasilkan produk bernilai tambah kepada sumber tempatan.
Katanya, Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan boleh meneroka pemprosesan hasil laut, manakala hasil pertanian juga perlu diberi nilai tambah.
“Saya mengharapkan agensi lain, contohnya Jabatan Perikanan, dapat memberi nilai yang lebih bermakna kepada hasil laut untuk nelayan kita. Begitu juga Jabatan Pertanian, hasil pertanian ditambah nilai supaya memberi makna lebih berkesan kepada masyarakat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, penghasilan produk berasaskan lateks tempatan turut memberi peluang kepada Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) memperoleh keuntungan tambahan melalui aktiviti hiliran.
Jamawai menekankan bahawa usaha memperluaskan produk hiliran perlu disokong promosi berterusan supaya produk tempatan dapat digunakan lebih meluas.

