KOTA KINABALU: 4 Oktober 2026 – Filem mistik Sabah, Bobohizan: Next Generation mencatatkan tiket habis terjual pada malam tayangan perdana rasmi di Growball Cinemax, Centerpoint, semalam.
Naskhah terbitan Newbreed Production Sdn. Bhd. yang ditulis dan diarahkan Marc Abas ini memaparkan penceritaan bergenre aksi mistik yang menggabungkan elemen tradisi Sabah dengan realiti kehidupan Generasi Z.
Pengarahnya, Marc Abas berkata naskhah itu diolah khusus untuk merapatkan jurang antara budaya warisan dengan golongan muda masa kini menerusi medium hiburan.

“Latar belakang keluarga saya mempunyai kaitan dengan warisan Bobohizan dan skrip ini sudah lama disimpan sebelum saya menemui formula terbaik untuk menggabungkan kebudayaan tradisi dengan cara percakapan anak muda zaman sekarang,” katanya.
Beliau menambah, penghasilan filem komersial dilihat sebagai kaedah lebih berkesan dalam menyuntik kesedaran budaya secara halus berbanding pendekatan didikan secara langsung.
“Melalui medium hiburan, kita tidak lagi mendesak golongan muda untuk menjaga tradisi, sebaliknya naskhah ini berfungsi memberikan gambaran dan panduan yang mampu menyentuh hati mereka,” jelasnya.
Mengulas aspek sensitiviti, Marc menegaskan pihak produksi terlebih dahulu membentangkan sinopsis dan mendapatkan panduan dari pengamal Bobohizan, pemimpin dan persatuan adat berkaitan.

“Kami mempelajari perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang proses pembikinan naskhah ini demi menghormati adat. Saya berani meneruskan projek ini kerana langkah kami mendapat restu penuh komuniti,” katanya.
Beliau turut menafikan berlakunya sebarang kejadian mistik sepanjang tempoh penggambaran ekoran amalan menyuburkan rasa hormat terhadap alam sekitar.
“Kita tidak boleh mengendalikan penggambaran secara sambil lewa. Komunikasi dan rasa hormat yang mendalam terhadap persekitaran sentiasa dititikberatkan oleh seluruh tenaga kerja,” ujarnya.
Dari sudut maklum balas, karya ini menerima reaksi positif dari penonton yang kagum dengan kelainan elemen sinematik yang dibawakan.

“Ini merupakan filem tempatan pertama yang memberikan impak emosi berbeza kepada saya, terutamanya menerusi keunikan babak aksi kung fu dan babak berkumpulan yang melibatkan pembacaan mentera purba sebelum watak Mondo ditewaskan,” kata seorang penonton, Kimi.
Pelakon utama Marco Nicho mengakui cabaran terbesar sepanjang memegang watak Ivan adalah dalam aspek penterjemahan ekspresi wajah, terutamanya ketika membawakan babak kesedihan.

“Proses menghafal dialog juga memerlukan perhatian yang tinggi, namun saya melakukan beberapa improvisasi pada teks asal agar penyampaian watak tersebut kedengaran lebih semula jadi dan bersesuaian dengan pemikiran anak muda,” jelasnya.
Marco, yang merupakan pemegang Diploma Perfileman dari UCSF Yayasan Sabah, menambah penglibatan beliau dalam industri kreatif disokong pengalaman lebih enam tahun di belakang kamera.
“Minat saya bermula sejak kecil kerana sering mengikuti bapa saya yang juga seorang pelakon, sebelum saya mengembangkan kemahiran dalam aspek teknikal termasuk pengendalian kamera dan peranan sebagai jurukamera,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan menerima sebarang tawaran lakonan baharu pada masa akan datang.

Naskhah yang menampilkan sinematografi oleh Mark Marciano Abas dan suntingan Sebastian Xavier ini turut membariskan pelakon tempatan lain seperti Luxanna Latin, Mayg Jafri, Che Chi, Szu Li, Layla Lucas, Nella Majundal, Jo Johari dan TJ Tianjiang.
Sementara itu, mereka yang belum menyaksikan Bobohizan: Next Generation boleh menontonnya kerana filem aksi mistik itu kini ditayangkan secara rasmi di pawagam terpilih bermula Oktober ini.

