Empat suspek curi kabel nekad rempuh polis diberkas

Copy of Gambar Artikel 1 20260428 211513 0000

KOTA KINABALU: 28 April 2026 – Cubaan sekumpulan lelaki mencuri kabel pada awal pagi berakhir dengan insiden kejar-mengejar dramatik apabila suspek bertindak agresif, termasuk cuba merempuh kenderaan polis di kawasan Lido, hari ini.

Kejadian sekitar jam 3.19 pagi itu tercetus selepas pasukan rondaan cegah jenayah Zon 3 Luyang menerima maklumat berhubung aktiviti kecurian kabel berhampiran sebuah pasar raya. Setibanya di lokasi, polis mengesan sekumpulan lelaki sedang melakukan kegiatan tersebut sebelum mereka melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Aksi kejar-mengejar kemudian berlanjutan hingga ke kawasan berhampiran Rugading. Dalam usaha meloloskan diri, suspek memandu secara melawan arus dan berbahaya, malah beberapa kali cuba melanggar kenderaan polis.

Keadaan menjadi lebih serius apabila kenderaan dinaiki suspek merempuh sebuah kenderaan awam, menyebabkan pemandunya cedera.

Polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 43 tahun, sementara seorang lagi suspek masih diburu. Sebuah Toyota Hilux yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas bersama peralatan seperti alat pemotong, chain block, besi yang diubah suai dan gulungan kabel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan kesalahan mencuri kabel.

Pihak polis memaklumkan usaha memburu suspek yang masih bebas sedang dipergiat dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal