KOTA KINABALU: 5 November 2026 – Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) mendesak kerajaan menyemak semula dasar perolehan RTM supaya syarikat produksi di Sabah dan Sarawak mendapat akses lebih adil. Langkah ini penting untuk menghidupkan semula industri kreatif Borneo yang semakin terhimpit sejak dua tahun lalu.
Presidennya, Chester Pang, mendedahkan peluang mendapatkan projek kini berada pada tahap amat membimbangkan. Keadaan ini memberi kesan rantaian kepada ekosistem ekonomi tempatan.
“Apabila peluang penerbitan semakin berkurangan, kesannya bukan hanya dirasai oleh syarikat produksi. Ia turut menjejaskan keseluruhan rantaian ekonomi kreatif, termasuk penyedia peralatan, penyewaan lokasi, pengangkutan, penginapan, katering dan, Perusahaan Kecil dan sederhana (SME) yang menyediakan perkhidmatan sokongan kepada produksi,” katanya.
Mengulas aspirasi Belanjawan 2027, beliau berkata usaha memperkukuh ekonomi kreatif tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah kandungan siaran. Sebaliknya, usaha itu perlu dinilai sebagai pelaburan ekonomi jangka panjang.
“Kita bukan meminta kelonggaran terhadap standard kualiti. Sebaliknya, kita mengharapkan sistem perolehan yang telus, kompetitif dan inklusif, dengan mengambil kira kepelbagaian wilayah, pembangunan kapasiti produksi dan potensi kandungan tempatan untuk dipasarkan ke peringkat lebih luas,” tegas Chester.
Untuk memastikan kelangsungan industri tersebut, SAFVA berharap Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan Kementerian Komunikasi memberi perhatian sewajarnya terhadap cabaran syarikat produksi di Sabah.
Jelasnya, harapan itu membolehkan bakat, cerita dan budaya Borneo mendapat ruang konsisten untuk berkembang dan bersaing di peringkat nasional.
