Tembakan amaran Polis di Titingan bukan kejadian baharu

f94014d4 aef3 4bd4 b535 ff609040d119

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: 14 Oktober 2026 – Video tular yang memaparkan anggota polis melepaskan tembakan di Kampung Titingan, di sini, sebenarnya merakam kejadian pada 9 Oktober lalu ketika operasi menangkap suspek kes samun bersenjata dan cubaan merogol seorang wanita warga asing.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team Balai Polis Tawau dan Pondok Polis Kawasan Titingan menjalankan operasi berkenaan.

Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan kejadian samun bersenjata yang berlaku pada hari sama, kira-kira jam 3.50 pagi, membabitkan seorang wanita warga asing berusia 18 tahun.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjatakan parang dipercayai melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM434 milik mangsa, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,500.

Semasa operasi tangkapan, seorang suspek bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi sebelum terjun ke laut.

Suspek turut memukul dan cuba menenggelamkan seorang anggota polis ketika dikejar, menyebabkan tembakan amaran terpaksa dilepaskan sebelum lelaki itu berjaya ditangkap.

Dua anggota polis dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Suspek ialah lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebatang besi turut dirampas.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 354 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi suspek masih dikesan.

Polis menegaskan video tular itu memaparkan tembakan amaran ketika operasi tangkapan pada 9 Oktober lalu dan bukannya kejadian berbalas tembakan atau kejadian baharu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi Inspektor Norhafizah Hussin menerusi talian 012-527 9004 dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung video berkenaan.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal