Gambar Ilustrasi
Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TAWAU: 28 Julai 2026 – Dua lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pemerasan terhadap seorang lelaki dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan kaki lima sebuah bangunan membeli-belah di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan siasatan berhubung laporan polis yang dibuat mangsa.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai meminta wang dari mangsa dengan ugutan untuk mendedahkan kejadian tertentu kepada pihak lain sekiranya bayaran tidak dibuat.
“Hasil tangkapan, polis turut merampas dua telefon bimbit milik suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya.
Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan.
Sumber: Polis Daerah Tawau

