PENAMPANG: 27 September 2026 – Persaingan Borneo Rising semakin sengit apabila Dabra mencuri perhatian pada minggu keempat menerusi persembahan bertenaga dalam episod bertemakan Power Groove.

Membawakan lagu DOLA nyanyian Angga Dermawan, Dabra berjaya meraih markah keseluruhan tertinggi sekali gus meletakkannya di kedudukan pertama pada minggu ini. Prestasi tersebut turut melayakkan Dabra menerima RM1,000 selepas dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Paling Power sumbangan CelcomDigi.
Kedudukan kedua pula dimiliki oleh Harvard, manakala Syukri melengkapkan kelompok tiga peserta terbaik bagi minggu keempat. Namun, kegembiraan tersebut tidak dapat dirasai semua peserta apabila Michelle terpaksa menamatkan saingan selepas diumumkan sebagai peserta yang tersingkir.

Michelle, Harris, Faris dan Jecinta turut berada dalam kelompok peserta dengan markah keseluruhan terendah bagi minggu berkenaan.
Borneo Rising dinilai menerusi gabungan 80 peratus markah juri profesional dan 20 peratus undian penonton, menjadikan setiap persembahan dan sokongan penonton penting dalam menentukan perjalanan peserta. Tiga juri tetap program tersebut terdiri daripada Noh Salleh, Marsha Milan dan Shila Amzah. Barisan juri turut memberikan komen serta pandangan yang terperinci selain menekankan kepentingan peserta untuk terus memperkemaskan aspek vokal, penghayatan dan konsistensi bagi menghadapi minggu-minggu seterusnya.

Program yang berlangsung selama lapan minggu itu dikendalikan oleh Zizan Razak dan Sherry Al-Hadad, dengan siaran bermula 6 September hingga 25 Oktober 2026. Borneo Rising bersiaran secara langsung dari ITCC Mall, Penampang, Sabah, setiap Ahad pada jam 9 malam.
Penonton boleh mengikuti program berkenaan menerusi Astro Ria (saluran 104) dan TV Okey (saluran 146), selain penstriman menerusi Astro GO, Sooka dan RTMKlik.

