KOTA KINABALU: Program Borneo Got Talent 2025 berjaya menghimpunkan 21 peserta berbakat dari seluruh Sabah dalam tiga kategori utama iaitu Singing, Dancing dan Unique Talent di Dewan SM Lok Yuk, Kota Kinabalu, dengan peserta terbaik bakal mara ke Grand Final Borneo Got Talent 2026 yang dijadual berlangsung pada 30 Januari 2026 sempena SM Lok Yuk Gala Nite & Borneo Got Talent 2026 di Dewan Hakka, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
Acara berprestij berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Pengelola Sekolah SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF) dengan sokongan penuh PIBG SM Lok Yuk sebagai inisiatif rasmi mengumpul dana pembangunan fasiliti sekolah.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Mr. Jimmy Chu, program itu bukan sahaja berfungsi sebagai platform pencarian bakat, malah memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman persembahan di pentas profesional dengan penilaian bertaraf industri oleh barisan juri berpengalaman.

Jelasnya, barisan juri terdiri daripada Esther Applunius, Dennis Patrick dan Rhowell Rolland yang bertanggungjawab memilih peserta terbaik untuk ke peringkat akhir.
Selain itu katanya, Grand Final dijangka lebih meriah dengan persembahan khas oleh Daniesh Suffian, bekas pelajar SM Lok Yuk yang kini mencipta nama dalam industri muzik di Kuala Lumpur, selain kemunculan beberapa selebriti alumni sekolah berkenaan.

Borneo Got Talent turut dianjurkan bagi memperkukuh hubungan antara pihak sekolah, alumni dan komuniti setempat di samping mencungkil bakat baharu anak Borneo dalam bidang seni persembahan.
Menurutnya lagi, Jualan tiket bagi acara tersebut kini dibuka dengan harga RM2,000, RM3,000 dan RM5,000 bagi satu meja, dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi 011-3668 6235, 013-306 2597 atau 014-674 3801 untuk tempahan serta maklumat lanjut.
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, juri, guru, ibu bapa, penaja serta pihak yang terlibat atas komitmen dan sokongan dalam menjayakan Borneo Got Talent 2025, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform mencungkil bakat baharu anak Borneo.
