Gambar ilustrasi sahaja
Oleh: Nurul Fazliana Norman
PUTRAJAYA: 4 Julai – Kerajaan memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap, menjadikan jumlah keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang layak menerima subsidi diesel di bawah skim itu meningkat kepada 35 kategori.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sektor baharu itu melibatkan Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap) sebagai tambahan kepada dua sektor sedia ada, iaitu Pengangkutan Darat (Awam) dan Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).
Beliau berkata, permohonan untuk kategori baharu itu dibuka mulai 3 Julai 2026, manakala kelayakan subsidi berkuat kuasa pada 15 Julai 2026, tertakluk kepada kelulusan permohonan dan pemilikan fleet card.
Menurutnya, kenderaan yang memohon perlu didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan Kod Kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perniagaan berkenaan mestilah berdaftar sebagai pemilikan tunggal atau perkongsian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftaran Pihak Berkuasa Tempatan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, subsidi itu disasarkan kepada peniaga mikro dan kecil yang menggunakan jip atau pikap untuk menjalankan aktiviti perniagaan, dan pemilik yang memenuhi syarat digesa mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi KPDN.
Sumber: Kementerian Perdagangan dalam Negeri

