KOTA BHARU: 17 Ogos 2026 — Anak kepada bekas anggota tentera berketurunan Kadazan dan ibu berketurunan Siam, Lovely Sabana Augustine, yang memperoleh keputusan CGPA 4.0, memerlukan bantuan untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lovely menerima tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Moral dengan Kepujian dan dijadual mendaftar pada 12 September ini.

Namun Lovely memerlukan RM2,232.35 untuk bayaran pendaftaran, selain sebuah komputer riba, kelengkapan pengajian dan keperluan diri untuk memulakan kehidupan sebagai mahasiswa.
Bapanya meninggal dunia akibat angin ahmar pada 2017. Sejak itu, Lovely dibesarkan ibunya, Mek Kenui, yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan.

Mek Kenui turut menjaga tempat letak kereta di sebuah masjid setiap Jumaat dan menjadi anggota RELA, manakala tiga abang Lovely bekerja sebagai jurujual pasar raya, pembantu kedai dan pekerja kampung.
Keadaan kewangan keluarga yang terbatas menyukarkan Lovely untuk menampung kos melanjutkan pengajian.
Sumbangan boleh disalurkan melalui Yayasan Raja Shamri, Bank Rakyat, nombor akaun 1102 0743 45.

