RUU Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) (Pindaan) 2026 diluluskan DUN Sabah

6bf663b6 ec95 4cb8 8c7a aa2343e4c200 BC1CDCC3 C562 48F4 994E E4F11041B657

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) (Pindaan) 2026 bagi menyelaraskan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) 1998 dengan Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981 susulan penstrukturan semula portfolio kerajaan negeri.

RUU yang dibentangkan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick, itu bertujuan menyelaraskan takrif “Menteri” dalam Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) 1998 supaya selaras dengan portfolio semasa, sekali gus memastikan kedua-dua enakmen yang mengawal selia hal ehwal pelabuhan menggunakan tafsiran yang seragam.

Cadangan pindaan itu diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Julai 2026 susulan pindaan terhadap definisi “Menteri” di bawah seksyen 2 Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981.

Sebelum ini, takrif “Menteri” dalam Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) 1998 merujuk kepada menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab terhadap perkara berkaitan komunikasi dan kerja raya. Menerusi pindaan itu, takrif berkenaan digantikan kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berhubungan dengan pelabuhan.

Pindaan itu dibuat berikutan penstrukturan semula portfolio kementerian kerajaan negeri yang berkuat kuasa mulai 3 Disember 2025 apabila fungsi dan tanggungjawab berkaitan hal ehwal pelabuhan dipindahkan dari Kementerian Kerja Raya dan Utiliti kepada Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

Selain meminda takrif “Menteri”, RUU itu turut memperkenalkan peruntukan peralihan bagi memastikan semua perbuatan, keputusan, kelulusan dan tindakan yang telah dibuat oleh menteri yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelabuhan kekal sah dan disifatkan telah dibuat oleh menteri yang kini bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelabuhan.

Ewon berkata pindaan itu tidak melibatkan sebarang perubahan dasar atau implikasi kewangan kepada kerajaan negeri, sebaliknya dibuat untuk menyelaraskan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) 1998 dengan pindaan kepada Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal