SANDAKAN: 26 September 2025 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak memilih pemimpin yang merosakkan negara atau menanam bibit kebencian, sebaliknya memastikan negara dipimpin dengan amanah dan baik.
Menurutnya, rakyat perlu menolak budaya pemimpin yang mengambil keuntungan peribadi ketika berkuasa kerana ia hanya merugikan negara dan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan.
Anwar menegaskan, isu pertahanan dan keselamatan tidak boleh berkompromi dengan amalan ketirisan, keborosan dan rasuah, meskipun kerajaan memperuntukkan perbelanjaan besar dalam sektor berkenaan.
Sikap pecah amanah akan menyebabkan negara runtuh walaupun memiliki kekuatan aset pertahanan.
Beliau turut menyatakan kepuasan terhadap prestasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang semakin baik selepas menerima tambahan peruntukan dari kerajaan.
Kawasan perairan negara yang luas, memerlukan pasukan keselamatan yang berdisiplin, lengkap dan bersedia menghadapi ancaman seperti penyeludupan manusia, dadah, senjata dan pencerobohan.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada APMM dan pasukan keselamatan lain atas pengorbanan mereka memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun ke-20 APMM itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Sumber: BERNAMA