50 Tahun Double Six: Bukan sekadar peringatan, tetapi tekad perjuangan hak Sabah

Donald Peter Mojuntin

PENAMPANG: 6 Jun 2026 – Genap setengah abad selepas Tragedi Double Six yang meragut nyawa beberapa pemimpin Sabah, Ahli Dewan Undangan Negeri, Moyog, Datuk Donald Stephen Peter Mojuntin mengingatkan bahawa peristiwa itu bukan sekadar kenangan, tetapi satu peringatan keras untuk terus mempertahankan hak dan maruah negeri ini.

Sempena ulang tahun ke-50 tragedi itu beliau berkata, Sabah kehilangan pemimpin-pemimpin yang mengabdikan diri kepada negeri dan rakyat pada 6 Jun 1976.

“Walaupun lima dekad telah berlalu, jasa, pengorbanan dan semangat perjuangan mereka tetap hidup dalam ingatan kita,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Tragedi Double Six membawa mesej penting – masa depan Sabah mesti dipandu oleh keberanian, perpaduan dan komitmen mempertahankan hak dan kepentingan negeri.

Menurut Mojuntin, semangat itu menjadi asas perjuangan ‘Sabah First’ hari ini – bukan untuk memisahkan Sabah dari Malaysia, tetapi untuk memastikan hak-hak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan dihormati sepenuhnya.

“Perjuangan menuntut hak 40%, kuasa-kuasa yang dijamin kepada Sabah, pembangunan yang adil, dan penghormatan terhadap kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab generasi hari ini untuk meneruskan legasi mereka yang telah mendahului kita,” ujarnya.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah supaya tidak berpecah dalam menghadapi cabaran semasa.

“Kita mesti berdiri bersama sebagai satu keluarga besar, melangkaui perbezaan kaum, agama dan fahaman politik. Hanya melalui perpaduan kita mampu memperkukuhkan suara Sabah dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak kita.”

“Sabah United, Sabah First. Lest We Forget.”

Tragedi Double Six berlaku pada 6 Jun 1976 apabila pesawat Nomad Nuri terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu, menyebabkan kematian Ketua Menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens, serta beberapa menteri dan pegawai kerajaan. – TV Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal