Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 14 Ogos 2026 – Sabah International Expo (SIE) 2026 yang akan berlangsung dari 2 hingga 6 September ini dijangka menjadi platform penting untuk Sabah meneroka pasaran dan peluang perniagaan baharu dengan menghimpunkan penyertaan dari 15 negara, dan menyasarkan 30,000 pengunjung.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Sabah, Datuk Susan Chang berkata, penganjuran SIE 2026 itu memberi peluang kepada usahawan kecil tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung dan peserta antarabangsa.
Katanya, SIE 2026 menyediakan 300 gerai besar selain lebih 20 kiosk kecil khusus untuk usahawan kecil tempatan.
“Pendekatan itu membolehkan bukan sahaja pemain industri berskala besar, malah usahawan kecil tempatan turut mendapat ruang untuk memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung dan peserta antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, semalam.
Menurut Susan, SIE 2026 turut menampilkan pengisian baharu menerusi Persidangan Halal Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Selain itu, Sabah International Business Luncheon Talk (SIBLT) turut diadakan dengan menampilkan Pengasas dan Pengerusi Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah sebagai penceramah utama.
Katanya, sebanyak 15 negara akan mengambil bahagian dalam Sabah International Expo dari 4 hingga 6 September, antaranya Brunei, Indonesia, Filipina, Finland, Thailand, China, Poland, Australia dan India.
“Kita mengharapkan SIE dapat membantu Sabah melihat pasaran yang lebih besar, terutama dengan kedudukan Sabah yang strategik dalam BIMP-EAGA,” katanya.
Beliau berkata, sokongan kerajaan penting untuk menjadikan SIE sebagai platform untuk mempromosikan Sabah sebagai pintu masuk kepada peluang pasaran global, khususnya menerusi kerjasama BIMP-EAGA.
SIE dianjurkan secara bersama Kerajaan Negeri Sabah melalui (MINDET), MICCI dan Persekutuan Industri Sabah (FSI).

Turut hadir, Naib Pengerusi MICCI, Matthew Loh Shin Kiet dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Dr. Rosmawati Lasuki.
Sumber: JAPEN

