PETALING JAYA: 22 September 2025 – Barisan peguam yang mewakili empat pelajar dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir menuduh Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, cuba mengeksploitasi kes berprofil tinggi itu bagi kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Dalam kenyataan bersama, peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh, dan Sylyester Kuan mengecam tindakan Mohd Shafie yang sebelum ini melabelkan kes tersebut sebagai ‘pembunuhan’ serta mempertikai siasatan pihak polis dan pakar patologi forensik.
Mereka menyifatkan kenyataan itu sebagai tuduhan tidak bertanggungjawab, berbahaya, dan bersifat prejudis terhadap anak guam mereka, sekali gus berpotensi membangkitkan sentimen awam menjelang pilihan raya.
Menurut barisan peguam tersebut, keadilan hanya boleh ditegakkan di mahkamah berdasarkan bukti, bukan diputar belit dalam ucapan politik atau di media sosial. Mereka turut menegaskan bahawa semua tertuduh berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya melalui proses perundangan.
Mohd Shafie dilaporkan mempertikai tempoh panjang inkues kematian Zara Qairina dalam satu majlis makan malam yang rakamannya tersebar di media sosial.
Peguam-peguam terbabit menegaskan kenyataan sedemikian bukan sahaja mencabar kewibawaan institusi kehakiman, malah tidak menghormati keluarga Allahyarhamah yang masih berduka.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia pada 17 Julai lalu di hospital, selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di sekolahnya. Inkues bagi menentukan punca kematian sedang berlangsung dan masih dalam perbicaraan.
Sumber: Berita Harian
