PENAMPANG: 30 Mei 2026 – Buat pertama kalinya, masyarakat Dusun Labuk dari Pantai Timur Sabah mempunyai rumah tradisi sendiri di Hongkod Koisaan yang mula digunakan hari ini sempena sambutan Pesta Kaamatan 2026.
Rumah tradisi tersebut, yang dikendalikan secara bersama oleh KDCA Labuk Telupid dan KDCA Labuk Beluran, menjadi medan untuk mengetengahkan keunikan budaya Dusun Labuk menerusi pelbagai aktiviti kebudayaan, pameran warisan dan sajian makanan tradisi yang menarik perhatian pengunjung.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone Kurum, berkata kewujudan rumah tradisi itu merupakan satu pencapaian bermakna bagi masyarakat Dusun Labuk yang sebelum ini belum mempunyai ruang khas untuk mewakili identiti mereka di peringkat negeri.
Menurutnya, Valai Labuk bukan sekadar sebuah bangunan, sebaliknya menjadi simbol pengiktirafan terhadap warisan dan sejarah masyarakat Dusun Labuk yang mendiami kawasan Telupid, Beluran, Paitan, Tongod, Kinabatangan, Sandakan hingga Tawau.
“Rumah tradisi ini membuka peluang kepada masyarakat Dusun Labuk untuk memperkenalkan budaya, adat resam, pakaian tradisional, kraftangan, muzik dan makanan warisan kepada pengunjung dari seluruh Sabah,” katanya.

Kewujudan Valai Labuk turut mengukuhkan peranan Hongkod Koisaan sebagai pusat perhimpunan budaya pelbagai etnik dan subetnik di Sabah, selain memastikan masyarakat Dusun Labuk mempunyai perwakilan yang lebih jelas dalam sambutan Kaamatan setiap tahun.
