13 Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu Didapati Bersalah Bunuh Rakan Sekolah

TAWAU: 22 Ogos 2025— Mahkamah Tinggi Tawau hari ini mendapati 13 pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu berusia antara 16 hingga 19 tahun bersalah membunuh rakan sekolah mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, dalam kejadian pada Mac tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Tawau, Datuk Duncan Sikodol, dalam penghakimannya hari ini memutuskan bahawa semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Semua tertuduh hadir di perkarangan mahkamah seawal 8.28 pagi bersama keluarga masing-masing untuk mendengar keputusan.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk prosiding hukuman selepas menerima laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lahad Datu mengenai kesemua pesalah terbabit.

Mangsa dibunuh di bilik asrama kolej berkenaan antara 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.

Berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah mendapati semua tertuduh bertindak secara bersama dengan niat menyebabkan kematian.

Dalam perbicaraan sebelum ini, pasukan pembelaan menutup kes pada 15 April lalu selepas memanggil 18 saksi, dengan semua 13 tertuduh memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Mereka berdepan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal