TONGOD: 6 Ogos 2025 – Ketidakstabilan politik akibat kekerapan pertukaran kerajaan di Sabah dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menghalang kemajuan negeri ini berbanding Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Beliau berkata, perubahan kerajaan yang berlaku hampir setiap kali pilihan raya akan menyebabkan dasar dan perancangan pembangunan sukar dilaksanakan secara konsisten, sehingga memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
“Belum sempat kemajuan dilaksanakan, kerajaan bertukar lagi. Akhirnya, pembangunan gagal dan rakyat Sabah terus ketinggalan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, kelmarin.
Beliau turut membandingkan keadaan di Sabah dengan Sarawak, yang menurutnya jauh lebih stabil dari segi politik, sekali gus membolehkan agenda pembangunan berjalan lancar dan berterusan.
“Dalam tempoh 60 tahun, sabah telah menyaksikan 16 pertukaran Ketua Menteri, manakala Sarawak hanya enam-itupun dalam kalangan gabungan politik yang sama”, ujarnya.
Beliau menjadikan projek Lebuhraya Pan Borneo sebagai contoh jelas jurang perbezaan ketara antara kedua-dua negeri tersebut.
Katanya, walaupun kedua-dua negeri menerima peruntukan serentak dari Kerajaan Persekutuan, namun Sarawak sudah menyiapkan projek itu sepenuhnya sementara Sabah masih terkial-kial kerana projek tersebut melalui tiga kerajaan yang berbeza.
“Pemimpin mungkin tidak terkesan kerana mereka tetap bergaji, tetapi rakyat yang menanggung akibatnya apabila pembangunan terbantut”, tambahnya lagi.
Beliau turut menasihatkan rakyat Sabah agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih di media sosial, sebaliknya membuat pilihan yang bijak demi masa depan negeri dan generasi akan datang.
Sumber: Sabah Media