Tuesday, December 24, 2024

Cabaran sukar Anwar Ibrahim kekalkan kerajaan perpaduan

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah berakhir dan negara kini mempunyai Perdana Menteri baharu yang ke-10 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mengetuai Pakatan Harapan, pembangkang utama negara untuk memperoleh 82 daripada 222 kerusi ahli Parlimen Malaysia.


Ketika berlaku kemelut selama lima hari, PH hanya memerlukan 30 kerusi untuk menang majoriti mudah.
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berjaya meyakinkan Yang DiPertuan Agong bahawa beliau mempunyai bilangan ahli Parlimen yang diperlukan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Perpaduan dengan penyertaan Barisan Nasional (BN).


Beliau juga mendapat beberapa Parti Sarawak dan gabungan kecil dari Sabah serta beberapa individu Ahli Parlimen yang memberinya sokongan. Terkini Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim mendapat sokongan Gabungn Rakyat Sabah (GRS) yang memberikan kerajaannya suara dua pertiga di Parlimen.


Selepas mengadakan sidang Majlis Raja-Raja khas, Yang di-Pertuan Agong akhirnya memperkenankan Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 negara pada 5 petang 24 November.
Ramai orang gembira dan merayakan pelantikan itu seolah-olah mereka memenangi loteri tetapi hakikatnya, kita mungkin tidak memenangi apa-apa.


Cuma apa yang berlaku ialah gabungan majoriti rakyat Malaysia yang mengundi telah diberi mandat untuk cuba mentadbir negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam tempoh lima tahun akan datang kerajaan akan berdepan dengan banyak isu, luar dan dalam, di peringkat tempatan serta global.
Dan walaupun kita mempunyai pemimpin terbaik, itu tidak bermakna mereka boleh menyelesaikan isu-isu ini atau mungkin ia akan memburukkan lagi keadaan.


Sambutan kemenangan yang sebenar hanya akan berlaku apabila negara keluar mengundi untuk PRU16 nanti. Jika kerajaan sekarang melakukan kerja yang baik, mereka akan mendapat undi popular yang besar dan diharapkan cukup ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan parti rakan lain.


Dan kini dengan adanya Perdana Menteri baru dan Kerajaan Persekutuan yang baru, persoalannya ialah sesiapa sahaja pembangkang adakah mereka akan berdiam diri sahaja? Adakah mereka akan mengambil setiap peluang yang ada untuk menjatuhkan kerajaan ini? Ahli Parlimen tidak boleh bertukar parti tetapi parti boleh menukar sokongan dan mereka akan mencuba segala cara untuk melakukannya.


Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berpeluang untuk menjatuhkan kerajaan Anwar, melalui undian di Parlimen. Ini adalah peluang yang disediakan oleh seorang Perdana Menteri yang punya keyakinan.


Anwar Ibrahim akan menguji majoritinya di Parlimen melalui undi percaya, perkara pertama dalam agenda yang sudah disebutkannya dalam sidang akhbar pertama, apabila Parlimen bersidang pada 19 Disember nanti.


Dalam kebuntuan selama lima hari Yang di-Pertuan Agong pada mulanya meminta PH dan Perikatan Nasional membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum berakhir di Parlimen tergantung, tetapi pengerusi PN Muhyiddin Yassin menolaknya kerana PN tidak mahu bekerjasama dengan PH.
Meminta Anwar Ibrahim untuk membuktikan bahawa beliau mendapat sokongan majoriti ahli parlimen untuk menjadi perdana menteri, Muhyiddin berkata, beliau mempunyai 115 akuan berkanun (SD) daripada ahli Parlimen menyokongnya untuk jawatan tertinggi itu.


“Muhyiddin telah mencabar untuk menguji kekuatan kita. Dia tidak perlu berbuat demikian. Saya telah meminta PH mencadangkan undi percaya pada hari pertama sidang Parlimen,” kata Anwar.
Melihat kepada situasi politik yang sudah pun diketahuinya, besar kemungkinan Anwar Ibrahim akan bertahan dan mendapat undi percaya daripada ahli parlimen.


Jadi kerajaan pimpinan PH akan menjadi kerajaan rakyat, kini mesti bekerja keras untuk mengubah hati dan fikiran ultra, ekstremis Melayu, Islam jika tidak negara ini akan menjadi sangat berpecah di antara Timur dan Barat Semenanjung Malaysia, Melayu dan bukan Melayu, Bandar dan Luar Bandar.
PH mesti bercakap dengan orang Melayu di kampung menggunakan bahasa mereka sendiri dan meyakinkan mereka mereka bahawa tiada ssesiapa yang cuba mencuri, mengambil atau mengurangkan hak mereka.


Negara ini cukup besar untuk semua orang hidup dengan baik dan mengamalkan apa sahaja agama dan budaya yang mereka mahukan. Malaysia adalah sebuah negara yang hebat tetapi berakhir dengan keadaan lemah sekarang kerana pengurusan yang lemah, rasuah dan politik perkauman, agama serta kekurangan pemimpin yang diterima di peringkat universal dan dihormati.


Malaysia adalah negara yang indah, mempunyai banyak khazanah dan potensi untuk menjadi lebih hebat.
Masih ada harapan untuk berubah, masih ada masa depan cerah, tetapi hanya jika kita semua rakyat Malaysia memperjuangkannya dan tidak menyerahkannya kepada ahli politik sahaja.

– TV Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights