Tuesday, December 24, 2024

Saham melonjak, ringgit naik selepas Anwar dilantik Perdana Menteri

April Maily

KOTA KINABALU: Saham Malaysia naik 4 peratus pada Khamis, lonjakan terbesar dalam tempoh dua tahun manakala ringgit naik 1.77 peratus berbanding dolar AS beberapa jam selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10, lima hari selepas pilihan raya umum berakhir di parlimen tergantung.
Gabungan reformisnya memenangi kerusi terbanyak dengan 82.

Dalam beberapa jam selepas pelantikannya, penanda aras Indeks KLCI FTSE Bursa Malaysia meningkat 4 peratus untuk ditutup pada 1,501.88 mata, dan ringgit melonjak 1.77 peratus kepada 4.4910 berbanding dolar AS.

Prestasi baik pasaran itu menandakan permulaan yang baik bagi perdana menteri baharu negara ini.

Ketua ekonomi dan strategi di Bank Mizuho di Singapura, Vishnu Varathan berkata, pelantikan Anwar mewujudkan keadaan “sedikit kepastian” terhadap kepimpinan negara memandangkan “karisma dan tumpuan utamanya untuk merapatkan perbezaan yang wujud bagi membentuk kerajaan.”

“Kita berharap ini akan menjadi penyelesaian yang kekal bagi peralihan politik yang dicetuskan oleh gangguan dan bukannya keseimbangan yang tidak stabil,” kata Vishnu kepada Bloomberg pada hari Khamis.

Shankaran Nambiar, felo penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), percaya bahawa Anwar mempunyai apa yang diperlukan untuk memajukan ekonomi negara, memandangkan pengalamannya sebagai menteri kewangan dahulu.

Anwar berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dari tahun 1993 hingga 1998 di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan sebagai menteri kewangan dari 1991 hingga 1998, demikian laporan Bernama.

Semasa krisis kewangan Asia 1997, Anwar menyokong prinsip pasaran bebas, sistem ekonomi di mana orang ramai bebas membabitkan diri dalam aktiviti ekonomi dan transaksi tanpa campur tangan kerajaan.

Ahli politik veteran itu juga menyokong inisiatif pembatalan hutang untuk negara miskin apabila beliau berkhidmat selama dua tahun sebagai pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 1998.

“Melihat kepada rekod prestasi dan pendirian dasar Anwar, saya fikir pelantikannya sebagai PM akan merangsang keyakinan dalam pasaran,” kata Shankaran kepada Free Malaysia Today (FMT) pada Khamis.

“Dalam pesanan pertamanya pada hari ini, Anwar yang mesra pasaran akan mampu meyakinkan pelabur asing mengenai kesediaan Malaysia untuk memperbaiki kedudukannya sebagai destinasi pelaburan. Saya pasti beliau akan pantas melakukan rombakan polisi,” tambahnya.

Media antarabangsa menyifatkan kemenangan pilihan raya Anwar sebagai kebangkitan besar selepas perjuangannya selama berdekad untuk menjadi perdana menteri menemui jalan buntu. Dia dipenjarakan selama hampir sedekad atas tuduhan liwat dan rasuah, yang didakwanya bermotifkan politik untuk menamatkan kerjayanya.

Pelantikannya tiba ketika negara ini berdepan dengan cabaraan, ekonomi yang perlahan dan iklim politik yang tidak stabil.

Sementara itu, pakar ekonomi utama Bank Dunia di Malaysia Apurva Sanghi berkata, walaupun tiada kegawatan ekonomi di negara ini, turun naik sesebuah pasaran memerlukan kerajaan baharu yang mampu meningkatkan keyakinan ekonomi.

Katanya, kerajaan perlu mengutamakan untuk mengehadkan gangguan dalam fungsi perkhidmatan awam, membentangkan semula dengan cepat dan meluluskan Bajet 2023 dengan hanya pengubahsuaian yang perlu, memberi isyarat sokongan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 secara terbuka dan meluluskan Akta Tanggungjawab Fiskal.

“Yang lain hanyalah sekunder (buat masa ini) dan mana-mana arah dasar baharu yang besar boleh disimpan untuk B2024 (yang diharapkan akan melalui proses perundingan seperti B2023),” katanya di Twitter selepas pelantikan Anwar.

Bank Negara baru-baru ini menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus menjadikan ia kenaikan keempat berturut-turut tahun ini, bagi memastikan inflasi terkawal.

Tumpuan kini beralih kepada pilihan Anwar untuk memilih siapa menteri kewangan, yang akan menentukan hala tuju ekonomi negara dalam menghadapi kelemahan ringgit dan kenaikan inflasi, yang mencatatkan 4.5 peratus pada September.

Shankaran berkata, bakal menteri kewangan harus mempunyai sedikit pendedahan kepada portfolio itu dan boleh menangani retorik, bangsa dan agama. Beliau mencadangkan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ahli parlimen Barisan Nasional, sebagai calon pilihan untuk jawatan itu.

“Johari adalah pilihan yang sangat baik. Dia orang yang paling sesuai dengan jawatan itu. Dia mempunyai pendedahan, kematangan dan walaupun dilatih sebagai akauntan, dia mempunyai pemahaman yang baik tentang bagaimana ekonomi global berfungsi,” katanya kepada FMT.

Johari berkhidmat sebagai menteri kewangan kedua di bawah bekas pentadbiran Najib Razak pada 2016.
Beliau baru-baru ini menang kerusi Titiwangsa untuk gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-15.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights