oleh David E.
RANAU: Aktiviti kokurikulum memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang seimbang, berdisiplin, berkeyakinan dan mempunyai ciri kepimpinan untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pendidikan bukan sekadar tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut menitikberatkan pembentukan sahsiah, jati diri dan pembangunan potensi diri pelajar sebagai persediaan menghadapi realiti kehidupan, melanjutkan pengajian dan menempuh alam pekerjaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, penglibatan dalam aktiviti sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform memberi peluang kepada pelajar membina keyakinan diri, mengasah bakat kepimpinan, memupuk disiplin dan memperkukuh semangat kerjasama berpasukan.
“Kita mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja bijak dalam pelajaran, tetapi juga mempunyai jati diri, berakhlak mulia, berani menghadapi cabaran dan mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kokurikulum SMK Mat Salleh, Ranau, di Dewan Perdana sekolah berkenaan, pada Khamis.
Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengingatkan para pelajar bahawa setiap kejayaan memerlukan usaha, pengorbanan, latihan, disiplin dan kesungguhan yang berterusan.
Menurutnya, Sabah memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berkeyakinan dan mempunyai semangat untuk menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Masa depan negeri dan negara turut bergantung kepada kualiti generasi muda yang dibentuk pada hari ini,” katanya.
Beliau berharap agar pelajar sekolah berkenaan terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam semua bidang, berani mencuba perkara baharu dan menjadikan setiap cabaran dan kegagalan sebagai pengalaman untuk memperbaiki diri.
Masidi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik, khususnya guru penasihat dan jurulatih kokurikulum, atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam membimbing dan membentuk potensi pelajar.
“Tahniah kepada semua pelajar yang menerima anugerah atas pencapaian dan sumbangan masing-masing dalam bidang kokurikulum. Jadikan kejayaan ini sebagai contoh kepada seluruh warga sekolah dan inspirasi untuk terus berusaha meningkatkan pencapaian dan mengembangkan potensi diri,” katanya.
Menerusi majlis berkenaan, seramai 500 pelajar daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima, termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), menerima pengiktirafan atas pencapaian dan penglibatan mereka dalam pelbagai aktiviti kokurikulum meliputi bidang sukan, persatuan, kelab dan badan beruniform.
