Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 6 September 2026 – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.24 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) tahun ini untuk melaksanakan pelbagai program pemerkasaan wanita, khususnya dalam aspek ekonomi, kemahiran dan peluang pekerjaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah JHEWA Bizbloom yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal dan golongan B40.
Katanya, program berkenaan perlu menghasilkan perubahan yang boleh diukur, termasuk peningkatan kemahiran, pendapatan dan keupayaan usahawan wanita mengembangkan perniagaan.

“Justeru, kita mahu lebih ramai usahawan wanita memanfaatkan teknologi, platform digital, pemasaran moden, rangkaian pasaran dan akses kepada pembiayaan.
“Aspirasi kita jelas iaitu produk yang dihasilkan usahawan wanita Sabah bukan sahaja kukuh di pasaran tempatan, malah mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, pada Jumaat lalu.
Hajiji berkata pembangunan wanita turut menjadi komponen penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 untuk tempoh 2026 hingga 2030.
“Dalam fasa baharu pembangunan negeri, kita mahu wanita turut mencorakkan arah pembangunan itu sendiri melalui idea, kepakaran, pengalaman, kepimpinan dan keberanian mencetuskan perubahan,” ujarnya.
Menurutnya, kekuatan ekonomi merupakan antara asas utama pemerkasaan wanita, terutama dalam menghadapi cabaran kos sara hidup.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan perlu beralih dari pemberian bantuan semata-mata ke usaha membina keupayaan dan kemandirian wanita.
“Pendekatan Kerajaan Negeri mesti beranjak dari bantuan semata-mata ke pembiayaan keupayaan, dari pembinaan keupayaan ke kemandirian dan dari kemandirian ke penciptaan nilai kekayaan dan peluang pekerjaan,” ujar beliau lagi.

Pada majlis sama, Hajiji menyampaikan tiga anugerah tokoh wanita dalam bidang keusahawanan, khidmat sosial dan korporat.
Anugerah Khas Serikandi Usahawan diterima Datin Saadiah Abdul Rashad, Anugerah Serikandi Khidmat Sosial kepada Datin Zaleha Mohammad Kassim, manakala Anugerah Tokoh Wanita Korporat diterima Datin Susan Wong Siew Guen.
Turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag; Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majunki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman; Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Zainal termasuk Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
Sumber: JAPEN

