KUALA LUMPUR: Rakyat boleh menarik nafas lega. Kerajaan memilih menanggung RM15 juta sebulan demi memastikan harga minyak masak botol tidak naik, walaupun harga Minyak Sawit Mentah (CPO) dunia melonjak sejak Jun 2025.
Harga minyak masak botol kekal pada RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) menerusi Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) yang diluluskan Jemaah Menteri pada 6 November lalu di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata intervensi berkenaan melibatkan peruntukan kerajaan RM15 juta sebulan dalam bentuk insentif khas untuk pengilang demi memastikan bekalan minyak masak botol terus stabil di pasaran.
“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira trend peningkatan harga CPO dunia sejak Jun 2025 yang memberi tekanan kos tinggi kepada industri pengilangan, sehingga ada syarikat yang menghentikan pengeluaran.
“Berdasarkan purata harga CPO dunia RM4,400 satu tan pada Oktober lalu, harga minyak masak botol 5kg dianggarkan boleh melonjak sehingga RM34.00 sekiranya kerajaan tidak campur tangan,” katanya dalam satu kenyataan media KPDN.
Beliau menegaskan, inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan menangani kesan kenaikan harga bekalan global akibat konflik geopolitik di Asia Barat, sama seperti pendekatan penambahan subsidi petrol RON95 dan diesel.
Armizan turut menyentuh isu kekurangan pekerja dalam subsektor restoran dan memaklumkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memproses permohonan berdasarkan siling kuota 15,000 pekerja asing yang diumumkan pada 5 Ogos lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap komited mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing secara berperingkat selaras sasaran Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk mengehadkan pekerja asing pada 10 peratus menjelang 2030.
Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkepentingan seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) mengemukakan cadangan berasaskan data untuk mengurangkan pekerja asing demi menjaga struktur gaji yang adil dan meningkatkan pendapatan rakyat tempatan.
