Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA LUMPUR: 10 Okt 2026 – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan selebiriti terkenal Bella Astillah kini sah sebagai suami isteri selepas selamat diijabkabulkan dalam satu majlis ringkas pagi tadi.
Bella, atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, kelihatan anggun manakala Syed Saddiq, 34, tenang sepanjang majlis berlangsung selepas pasangan ini mengikat tali pertunangan selama enam bulan.
Mereka turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasangan pertama yang diijabkabulkan di Persint Merdeka 118, salah satu mercu tanda ikonik negara, latar suasana memukau di aras 118 menjadikan detik penyatuan dua hati itu simbolik permulaan baharu kehidupan mereka, majlis turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia menerusi siaran langsung di pelbagai platform Astro.
Majlis akad nikah berkonsepkan Arab serba putih itu diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, sahabat handai dan rakan industri terdekat, turut hadir meraikan pasangan mempelai ialah barisan tokoh kepimpinan negara ternasuk Dato’ Seri Dr Wan Azizah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pasangan itu dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Seri Dr Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dengan bapa Bella sendiri, Awang Astillah.

Dalam majlis tersebut, Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin RM500 kepada Bella, pihak pengantin lelaki turut menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang dari pihak pengantin perempuan.
Kedua-dua mempelai tampil memukau dalam busana rekaan pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli, yang menyerlahkan konsep elegan pada hari bersejarah mereka.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan perjalanan cinta dan momen istimewa pernikahan pasangan ini, ia akan dipaparkan menerusi program khas ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ yang bersiaran setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (Saluran 104), dan boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.

